Kerjaya kelab Clarence_Seedorf

Ajax

Sebagai produk Akademi Belia Ajax, Seedorf memulakan kariernya di Ajax di posisi pemain tengah kanan pada awal 1990an. Beliau membuat debut pada 29 November 1992 ketika menentang Groningen pada umur 16 tahun 242 hari seterusnya membuatkan Seedorf sebagai pemain termuda melakukan debut di Ajax. Beliau akhirnya menjadi pilihan pertama di posisinya di bawah pengurus Louis van Gaal. Pada musim 1993–94 iaitu musim kedua Seedorf di Ajax, beliau membantu kelabnya meraih "trebel", dengan menjulang gelaran Eredivisie, Piala KNVB dan Piala Super Belanda pada tahun yang sama. Pada musim berikutnya, Seedorf sekali lagi menyaksikan Ajax meraih Piala Super dan Eredivisie kedua berturut-turut selain membantu pasukannya melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebelum menang menewaskan Milan. Beliau bermain dari sepak mula sebelum dikeluarkan pada minit ke-53 untuk digantikan oleh penyerang Nwankwo Kanu.[5] Patrick Kluivert menjaringkan gol lewat Ajax dan membenarkan Ajax membenam gergasi Itali itu 1-0.[6] Di Ajax, beliau membentuk trio yang dikenali "De kabel", terdiri daripada Edgar Davids, Patrick Kluivert dan dirinya sendiri. Kemudian, ditambah lagi Winston Bogarde dan Michael Reiziger, trio ini berubah menjadi "kwintet"; yang dibentuk selepas aksi kejohanan UEFA Euro 1996.[7]

Sampdoria

Selepas Seedorf memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya bersama Ajax selepas kejayaan Eropah dan peraturan Bosman, Seedorf menandatangani kontrak satu tahun bersama kelab Itali, Sampdoria.[8] Walaupun tidak memperoleh sebarang kejayaan pada musim pertama di kelab barunya, Seedorf tampil dalam 32 perlawanan dan menjaringkan tiga gol untuk membantu pasukannya melonjak ke tangga kelapan Serie A. Seedorf kemudian melakukan perpindahan ke kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada penghujung musim.[9]

Real Madrid

Seedorf berpindah ke Real Madrid pada 1996 dan beliau kekal di Los Blancos selama empat musim. Pada musim pertamanya, beliau membantu Real meraih gelaran juara La Liga. Pada musim seterusnya, beliau antara pemain penting buat pasukannya dalam kejayaan Liga Juara-Juara apabila Real membenam Juventus pada perlawanan akhir[10] sekali gus meraih trofi Liga Juara-Juara kedua dalam kariernya.

Semasa bermain di Real Madrid, Seedorf menjaringkan gol yang tidak akan dilupakan apabila merembat dari jarak yang teramat jauh sewaktu menentang Atlético Madrid pada tahun 1997.[11] Pada penghujung musim 1998–99, Madrid dan Juventus mahu menukar Seedorf kepada Zinedine Zidane tetapi rundingan tidak tercapai sehingga pemain Perancis itu menunggu dua tahun lagi sebelum menyertai Real Madrid.

Bermula musim panas 1999, keutamaan Seedorf di Real Madrid semakin kurang menonjol ketika pengurus Guus Hiddink mengambil alih. Kesudahannya, beliau berpindah semula ke Itali semasa musim 1999–2000, kali ini ke Inter Milan dengan perpindahan yang menelan kos 40 bilion lira Itali (kira-kira 23 juta euro).

Internazionale

Pada 24 Disember 1999, Seedorf berpindah ke Internazionale dengan perpindahan kira-kira 23 juta euro selepas beliau kekal di Real Madrid selama tiga tahun. Walaupun membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir Coppa Italia yang berkesudahan 2-1 secara agregat tewas kepada Lazio sementara Seedorf menjaringkan gol tunggal Inter, beliau tidak berjaya meraih sebarang pencapaian buat kelab. Tetapi, penyokong-penyokong Inter memperingati aksi Seedorf sewaktu menentang Juventus pada 9 Mac 2002 yang berkesudahan seri 2-2. Seedorf menjaringkan dua gol buat Inter dan kedua-duanya dari jarak jauh.[12]

Milan

Selepas dua tahun di Inter, Seedorf berpindah ke musuh tradisi Internazionale, Milan pada tahun 2002 sebagai pertukaran dengan Francesco Coco. Seedorf meraih kejuaraan Coppa Italia bersama Milan pada 2003, trofi piala domestik pertama mereka sejak 26 tahun. Pada tahun yang sama, Seedorf meraih pingat Liga Juara-Juara ketiga baginya lalu beliau menjadi pemain pertama memenangi Liga Juara-Juara bersama tiga kelab berbeza.[13] Pada perlawanan akhir menyaksikan Milan menewaskan lawan dari tanah air, Juventus menerusi penentuan penalti meskipun Seedorf gagal menyempurnakan tendangannya. Pada musim berikutnya, Seedorf membantu Milan menyumbang gelaran "Scudetto".

Seedorf menjadi peranan utama Milan yang berjaya melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sekali lagi pada 2005. Beliau menjaringkan satu gol pada kempen Liga Juara-Juara mereka pada perlawanan pembukaan menentang Shakhtar Donetsk pada 14 September 2004 dan seterusnya tampil dalam 13 perlawanan.[14] Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Istanbul menentang Liverpool, Milan mendahului dengan selesa 3-0 sebelum akhirnya tewas pada penentuan penalti selepas terikat seri 3-3. Seedorf tidak mengambil tendangan penalti tersebut.[15] Milan turut dinobatkan naib juara dalam Serie A tujuh mata di belakang juara Juventus walaupun Juventus dilucutkan gelaran juara dan Milan turut dipotong mata oleh kerana skandal pengaturan perlawanan.[16]

Seedorf mengambil tendangan sudut untuk Milan pada 2010.

Skandal "calciopoli" telah melemahkan pasukan Milan tetapi mereka dibenarkan beraksi di pentas Eropah pada musim seterusnya lalu membolehkan pemain-pemain ternama Milan membuat keputusan untuk kekal. Posisi Seedorf di pemain tengah semakin pudar apabila Kaká menjadi tonggak utama Milan yang membantu pasukan ini sekali lagi melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan sekali lagi bertemu lawan sama, Liverpool. Pada kali ini, mereka akhirnya melunaskan dendam mereka dengan membenam Liverpool 2-1 di Athens selain Seedorf berhasil mengutip pingat Liga Juara-Juara keempatnya. Pada tahun yang sama, Seedorf sebahagian daripada skuad Milan yang meraih kejayaan dalam Piala Kelab Dunia. Seedorf menjadi pemain Eropah pertama meraih trofi itu bersama tiga kelab berbeza (Ajax pada 1995 dan Real Madrid pada 1998). Beliau dianugerahkan Bola Perak pada kejohanan itu.[17] Pada penghujung musim 2006-07, Seedorf diundi sebagai pemain tengah terbaik dalam kempen Liga Juara-Juara. Beliau tampil dalam perlawanan ke-100nya dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada 4 Disember menentang Celtic.

Bersama Milan, Seedorf membentuk satu perikatan antara Gennaro Gattuso dan Andrea Pirlo yang bermula sejak musim 2002–03. Gabungan trio ini sentiasa digunakan dalam kesebelasan utama sehinggalah musim 2011–12. Pirlo meninggalkan Rossoneri pada musim panas 2011 walaupun prestasi mereka sedikit merosot. Di bawah pengendali Carlo Ancelotti, peranan mereka ialah ingin membantu pemain tengah menyerang sama ada Rivaldo, Rui Costa, Kaká atau Ronaldinho.

Seedorf menjadi pemain asing yang banyak beraksi untuk Milan pada perlawanan menentang kelab lama beliau, Sampdoria selain beliau turut menjaringkan gol pada perlawanan itu. Dengan 395 penampilan, beliau memintas rekod Nils Liedholm untuk pencapaian bersejarah ini. Pada perlawanan menentang Sampdoria, beliau merupakan pemain asing kesembilan Milan paling banyak menjaringkan gol dengan menghasilkan 58 gol.

Seedorf pada perlawanan antara Milan dan Siena ketika musim 2011-12.

Pada 29 Mac 2010, Seedorf menjadi sasaran penyokong Lazio untuk melaungkan nyanyian perkauman pada perlawanan yang berkesudahan 1-1. Perlawanan itu menyebabkan kelab Rom itu didenda 15 ribu euro oleh Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC). Selain itu, ia turut menyatukan pemain-pemain Itali menentang perkauman supaya tidak memuncak di Serie A.

Seedorf meraih kejuaraan Scudettonya bersama Milan pada musim 2010-11 dan beliau turut sekali lagi menjadi tonggak utama pasukan. Beliau menjaringkan empat gol dalam 36 kemunculan buat musim 2010–11. Seedorf menambah pingat lain dalam galeri trofinya pada aksi Piala Super Itali menentang musuh tradisi, Internazionale yang berkesudahan Milan menumbangkan Inter 2-1. Beliau menjaringkan gol kemenangan Milan pada perlawanan kemenangan pertama mereka dalam kempen Serie A 2011-12 mmenentang Cesena pada 24 September.[18]

Seedorf berada di kedudukan ketujuh dalam 20 pemain terbaik Liga Juara-Juara oleh Champions, majalah rasmi UEFA.[19] Pada 14 Mei, beliau mendedahkan beliau akan beraksi pada perlawanan terakhirnya untuk Milan pada perlawanan menentang Novara pada hari yang sama. Beliau mengesahkan beliau akan meneruskan bermain tetapi bersama kelab lain. Pada 21 Jun, Seedorf berkata dalam satu sidang untuk mengumumkan pemergiannya dari Milan, "Saya pergi selepas sepuluh tahun yang indah...Saya meninggalkan sebuah keluarga". Seedorf meninggalkan Rossoneri selama sedekad dan meraih dua trofi Liga Juara-Juara, dua gelaran Scudetto dan satu trofi Coppa Italia.[20][21]

Botafogo

Pada 30 Jun 2012, Seedorf menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Brazil, Botafogo. Pemain veteran melakukan debut untuk kelab pada 22 Julai menentang Grêmio. Pada 5 Ogos, Seedorf menjaringkan gol pertamanya buat Botafogo melalui satu percubaan sepakan percuma terus ketika menentang Atlético Goianiense. Pada 5 September, Seedorf menjaringkan dua gol dan satu hantaran semasa menentang Cruzeiro yang berkesudahan Botafogo menang 3-1.[22] Pada 3 Februari 2013, buat pertama kali dalam kariernya, Seedorf menjaringkan hatrik menentang Macaé.

Pada 6 Jun, Seedorf menjaringkan gol ke-100nya dalam liga domestik sepanjang kariernya. Pada 14 Januari 2014, Seedorf akhirnya mengumumkan persaraannya. Beliau mengumumkan akan menamatkan kariernya sebagai seorang pemain dan mula mengambil alih kekosongan jawatan pengurus di Milan berikutan pemecatan Massimiliano Allegri.

Rujukan

WikiPedia: Clarence_Seedorf http://bleacherreport.com/articles/63140-ryan-gigg... http://soccernet.espn.go.com/news/story/_/id/11105... http://soccernet.espn.go.com/report?id=327155&cc=5... http://www.goal.com/en/news/1717/editorial/2010/04... http://www.goal.com/en/news/2669/birthdays/2010/04... http://www.rsssf.com/miscellaneous/esm-xi.html http://www.rsssf.com/miscellaneous/nedpoy.html http://www.rsssf.com/miscellaneous/seedorf-intl.ht... http://www.rsssf.com/tablest/toyotamvp.html http://www.seedorf.com